KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg pagi tadi telah merasmikan pelancaran Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu ( OUCCI) di sebuah hotel di sini.
Dalam sidang media setelah selesai majlis tersebut Datuk Patinggi Abang Haji Zohari menyatakan keyakinan OUCCI akan menyadi platform penting untuk masyarakat Orang Ulu mengemblengkan daya keusahawanan mereka supaya mampu bersaing dengan masyarakat lain dalam program pembangunan negeri ini, khususnya pada era selepas Covid-19.
Dalam ucapan perasmian terdahulu beliau berkata kawasan yang didiami oleh masyarakat Orang Ulu, terutamanya kawasan tanah tinggi di Ulu Baram dan Bario dan tasik empangan hidro seperti di Bakun mempunyai potensi besar dari segi sektor pertanian dan pelancongan.
Oleh itu, penekanan diberi kepada pembangunan kemudahan Infrastruktur seperti jalan raya dari Miri ke Marudi melalui sebuah jambatan merentasi Batang Baram yang kemudian menuju ke kawasan Taman Negara Gunung Mulu untuk membuka potensi kawasan-kawasan tersebut.
Jajaran tersebut akan bersambung dengan sebuah jalan raya yang merentasi kawasan Gunung Buda di Ulu Limbang untuk mengwujudkan laluan alternatif dari Miri ke Limbang, ujar beliau.
Beliau berkata program pembangunan infrastruktur utama yang sedang dilaksanakan sekarang di seluruh Sarawak dijangka siap pada 2025 dan selepas itu kerajaan Sarawak akan memberi tumpuan kepada bidang lain khususnya pembangunan sumber manusia.
Sumber dari : Sarawakku